Pembaca Setia

Thursday, July 21, 2011

Berenang Tanpa Kaki dan Tangan

Assalamualaikum semua...







Hari ni ingin aku berkongsi sebuah kisah mengenai seorang insan yang teramat istimewa, seorang insan yang bernama Nick Vujicic, seorang motivator hebat yang baru berusia 26 tahun dan berasal daripada Brisbane, Australia. Ditakdirkan Allah S.W.T insan ini dilahirkan unik daripada manusia lain, beliau tidak dikurniakan kaki dan tangan. Dengan keadaan fizikal beliau yang serba kekurangan itu, pasti menyedihkan kita yang mempunyai hati ini untuk melihatnya.



Pada mulanya, ketika kecil beliau telah dihalang untuk hadir ke sekolah kerana kecacatan fizikalnya, tetapi beliau mempunyai hati yang kental dan keinginan untuk belajar yang kuat sehinggakan beliau berjaya menjadi , orang kurang upaya yang pertama yang diterima masuk ke sekolah biasa (bukan sekolah istimewa).



Disekolah beliau telah dibuli oleh rakan-rakan sebaya sehinggakan ketika usia beliau 8 tahun beliau telah cuba untuk membunuh diri, dan pada usia 10 tahun beliau cuba untuk menenggelamkan diri beliau didalam air sedalam 6 inci tetapi beliau tidak meneruskan niat beliau kerana beliau terlalu sayang pada keluarga.



Selepas insiden itu beliau cuba untuk kuatkan semangat, namun begitu ketika beliau masih kecil, beliau selalu berdoa agar ditumbuhkan kaki dan tangan oleh tuhan. Walaupun doa beliau tidak menjadi kenyataan namun beliau berjaya membuktikan bahawa keadaan fizikal beliau bukanlah penghalang kejayaan. Buktinya ketika berada di seven grade, beliau telah dipilih menjadi ketua pelajar disekolah dan mengetuai badan persatuan derma dan aktiviti khas untuk anak-anak kurang upaya. Kini beliau mempunyai yayasan milik beliau yang dinamakan Live without limbs yang bertujuan membantu golongan kurang upaya seperti beliau.



Beliau semangnya dikurniakan hati yang lebih tabah dan kuat daripada insan-insan lain yang lengkap anggotanya. Beliau meneruskan kehidupan dengan melakukan perkara-perkara yang bermakna malah, kehidupan beliau mungkin lebih bahagia daripada kita yang sempurna ini. Kata beliau, beliau menganggap kehidupan beliau sebagai ajaib atau 'Magic' dan beliau telah berkongsi keajaiban tersebut dengan memberi harapan kepada manusia lain bahawa impian dan kejayaan tetap akan terlaksana walaupun jalan yang harus dilalui penuh liku dan ranjau.



Dengan kekurangan itu, beliau telah bangkit dengan semangat yang tinggi dan berjaya memberi inspirasi kepada berjuta-juta insan lain diseluruh dunia untuk turut sama bangkit daripada kegagalan yang lalu. Kegagalan adalah permulaan sebuah kejayaan. Tanpa kegagalan mungkin kita tidak akan belajar perih jerih kehidupan. Menariknya, beliau bukan sahaja menjadi seorang motivator yang hebat dan berpengaruh malah beliau turut melalui kehidupan normal seperti insan lain. Dengan kekurangan yang ada pada beliau, beliau boleh berenang, surfing, bermain golf, memasak, menulis, melukis, memancing dan banyak lagi dan semuanya beliau melakukan sendiri tanpa bantuan kaki dan tangan! Cuba kita fikir kemampuan kita berbanding beliau?



Kita dilahirkan mempunyai kaki dan tangan yang sempurna, akan tetapi bila diminta tolong kita malas, kita bagi alasan kaki sakit, tangan sakit dan macam-macam lagi. Bagaimana jika suatu hari nanti, Allah S.W.T benar-benar menarik nikmat kaki dan tangan yang ada pada kita dan tinggallah kita hidup tanpa kaki dan tangan? Bolehkah kita terus menjadi sekuat Nick Vujicic ini? Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah S.W.T, jangan lah kita kerap berdalih dan memberi alasan. Takut sekiranya alasan kita itu menjadi kenyataan. Na'uzubillah.



"Bila aku jatuh aku akan cuba untuk bangun walau seratus kali pun, kerana jika aku berhenti mencuba untuk bangun, sudah pasti aku tidak kan dapat bangun sampai bila-bila. Jadi aku akan cuba, dan cuba dan cuba lagi sehingga sampai ke penghujungnya" - Nick Vujicic



Masya-Allah..Aku bersyukur kepada-Mu tuhan kerana Engkau telah mengurniakan aku sepasang mata yang boleh melihat dengan sempurna walaupun aku tidak pernah memintanya. Engkau mengurniakan sepasang telinga yang boleh mendengar walaupun aku tidak pernah mendambakannya. Bukan itu sahaja, Engkau turut melengkapkanku dengan sepasang tangan dan kaki yang membisakan aku menulis dan berlari. Bahkan, setiap deria rasa dan deria bau yang Kau kurniakan ini sungguh bererti buatku, kerana tanpa salah satu daripadanya sudah tentu hidup aku tidak akan sempurna. Terima kasih Allah!



Andai Allah takdirkan nasibku sama seperti insan yang tabah ini, adakah aku mampu bertahan? Bolehkah aku meneruskan kehidupan? Atau aku cuma mampu memilih untuk berdiam diri dan menunggu kematian? Sungguh aku tidak pasti.



Kepada warga OKU yang dihormati diluar sana, usahlah anda menganggap kekurangan anda menjadikan anda seorang yang tidak bererti lagi. Bangkitkan lah hati dan jiwa. Tabahkan lah diri. Setiap yang Allah jadikan pasti ada hikmahnya. Kami yang sempurna, mungkin lebih banyak dosanya.



Kami yang dilahirkan sempurna, mempunyai mata yang sepatutnya digunakan untuk melihat tulisan-tulisan kalam Allah, tetapi kami gunakan untuk melihat kemungkaran dan maksiat. Kami ada telinga yang sepatutnya digunakan untuk mendengar alunan Al-quran dan hadith, tapi kami gunakan untuk mendengar lagu-lagu yang melalaikan, dan umpatan-umpatan yang tidak berkesudahan. Kami ada suara yang sepatutnya digunakan untuk menasihati ke arah kebaikan, tetapi kami lalaikan dengan cacian dan makian dan kata-kata yang membangga diri. Kami ada tangan dan kaki yang sepatutnya kami gunakan untuk menuju rumah Allah dan bersedekah kepada yang kurang berkemampuan, tetapi kami alpakan dengan berkunjung ke kelab-kelab malam dan pusat hiburan. Ya Allah Ya Rabbi. Ampunkanlah dosa-dosa ini. Ubahkanlah hati-hati kami. Jadikan kami hamba-Mu yang meletakkan sesuatu kepada haknya.



Kekuatan bukan terletak pada anggota tetapi pada HATI !

2 comments:

.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...